Thursday, February 17, 2011

Bahasa Arab Bahasa Islam

Allah mewajibkan ke atas setiap hambanya mempelajari ilmu supaya dapat melakukan ibadah dengan sempurna.Amalan yang tidak berbekalkan ilmu hanya akan menjadi sia-sia sahaja.

Ilmu Allah amatlah luas. Jika kita pergi ke tepi laut, masukkan jari ke dalam air. Diibaratkan titisan air pada jari itu ilmu kita, lautan seluas sejauh mata memandang itulah ilmu Allah. ما شاء الله betapa luasnya Ilmu-Mu Ya Allah!

Allah Taala mengetahui segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini. Kadang-kadang kita berbangga dengan pencapaian seseorang. Beliau mampu mencipta ini dan itu, menghasilkan formula ini dan itu. Sedangkan kita terlupa bahawa ilmu yang dimiliki oleh orang tersebut adalah anugerah Allah yang dipinjamkan buat seketika. Ilmu yang dimiliki oleh insan ini hanya sedikit jika dibandingkan dengan ilmu Allah yang jika ditulis dengan 7 lautan sekali pun maka tidak akan habis.

Segala ilmu pengetahuan yang telah ditemui mahu pun belum sudah tersurat dan tersirat dalam Al Quran. Ramai saintis-saintis Barat tunduk sujud kepada Allah setelah menyingkapi kebenaran Al Quran. Ramai juga yang terus menidakkan isi kandungannya walau pun kebenarannya sudah pun jelas di depan mata.

Manusia diminta hanya menyembah Allah Yang Esa sedangkan mereka terdiri dari pelbagai etnik dan bangsa. Pertuturan harian mereka juga berbeza-beza. Kita disuruh untuk beriman dengan Al Quran sedangkan Al Quran itu berbahasa Arab. Adakah ini tidak adil untuk bangsa bukan Arab atau pun ia mengandungi jutaan rahsia tersirat?


Info Bahasa Arab Mudah

Al Quran   القُرْآن
ilmu  عِلْمٌ
sujud  سُجُوْدٌ
ibadah  عِبَادَةٌ
adil  عَدْلٌ
laut  بَحْرٌ
bahasa  لُغَةٌ

Thursday, February 10, 2011

Episod Imam Bacaan Sempurna

Suatu malam di sebuah surau seorang imam telah dipilih di kalangan makmum yang dirasakan berpotensi
untuk mengetuai solat fardu maghrib. Ini adalah kerana tok imam tidak dapat hadir untuk solat bersama.
Imam sementara yang telah dipilih ini nampaknya berjaya menjalankan tugas dengan baik. Setiap rakaat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Setiap makmum berasa lapang sekali kerana dapat juga menjalan solat berjemaah walaupun ketiadaan tok imam. Mereka kagum dengan beliau, lebih-lebih lagi suara bacaannya yang cukup lunak.
Selepas sahaja memberi salam, si imam terus menoleh belakang ke arah makmum dan bertanya, “Macam mana bacaan solat aku tadi, okay tak?” Seorang makmum di hujung sebelah kiri menyahut, kira okay la tu mam, ni kalu masuk Akademi Al Quran confirm boleh jadi juara!”
“Ha itu… belum sempat aku ambil wuduk lagi, kalau aku sempat berwuduk sebelum solat tadi confirm lagi sedap bacaan tau!”
Tercengang makmum mendegar statement imam. Masing-masing berbisik dalam hati, “Ada jugak mangkuk hayun yang macam ni.”
Catatan:
1)      Janganlah kita mengukur seseorang berdasarkan luaran sahaja. Kadang-kadang orang yang kita pandang sebelah mata itu jauh lebih hebat dari yang lain. Ini adalah kerana dia memiliki sifat tawaduk.
2)      Persiapkan diri kita dengan ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Jangan hanya mengharapkan orang lain mengerjakan fardu kifayah sedangkan kita asyik terlepas untuk menikmati ganjaran pahala yang telah dijanjikan.