Sunday, January 30, 2011

Menjadi Hamba Allah

Nikmat, ujian, ketaatan dan maksiat, 4 perkataan ini selalu kita dengar. Sesetengah para alim ulamak mengatakan seseorang hamba Allah hanya akan bearada dalam 4 situasi ini, tidak ada keadaan yang kelima untuk kita.

Apabila mendapat nikmat hendaklah kita bersyukur. Dalam situasi diuji pula hendaklah kita reda dan bersabar. Disaat kita terlalai melakukan maksiat, bersegeralah beristighfar dan bertaubat kepadaNya. Semuanya ini akan menjadikan kita hamba yang sentiasa taat kepada Sang Pencipta Yang Maha Berkuasa.

Perkataan hamba Allah mudah dilafazkan. Adakah kita mengetahui makna perkataan ini? Apakah yang dimaksudkan dengan hamba Allah?

Hamba dalam Bahasa Arab disebut عَبْدٌ. Yang dikatakan sebenar-benar hamba ialah:

الْعَبْدُ لاَ يَمْلِكُ شَيْئًا
"Seseorang hamba tersebut tidak memiliki apa-apa pun"-melainkan Allah sahaja di hatinya.

Di sisi manusia, hamba adalah kedudukan yang terendah dan terhina. Tetapi di sisi Allah, hamba adalah darjat yang paling tinggi dan mulia. Sebab itulah Nabi Muhammad apabila ditanya, adakah kamu hendak menjadi rasul atau pun hamba, Nabi memilih untuk menjadi hamba Allah. Lalu Allah menjadikan baginda hamba Allah dan Rasulullah, dan baginda adalah sebaik-baik hamba Allah. 

Tuesday, January 25, 2011

Tidak Ternilainya Nikmat Masa

Kebiasaannya manusia memikirkan apa yang tidak milikinya. Sesuatu yang ada bersama dengan kita jarang disyukuri. Bila melihat orang lain hidup mewah, kita pun inginkan sedemikian. Sedangkan kita terlupa barangkali orang tersebut mempunyai masalah-masalah lain seperti tidak sihat dan rumah tangganya tidak bahagia.

Kita terlupa bahawa kita juga mempunyai sesuatu yang amat  berharga dalam hidup ini. Allah itu Maha Adil, Dia pasti akan memberikan yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Setidak-tidaknya Allah telah menganugerahkan kita nikmat masa.

Masa adalah suatu nikmat yang paling berharga yang dimiliki oleh manusia. Dengan masa kita dapat gunakannya untuk belajar, beramal soleh, bekerja dan lain-lain lagi.

Disebabkan masa itu terlalu penting dan begitu bernilai, Allah telah bersumpah dengan perkataan-perkataan yang menunjukkan masa di dalam Quran seperti والعصر، والليل dan والضحى.

Kita juga mestilah selalu ingat bahawa:

  • Masa akan berlalu dengan begitu pantas.
  • Masa yang berlalu tidak akan kembali lagi.
  • Sesuatu yang paling berharga yang manusia miliki adalah nikmat masa.

Wednesday, January 19, 2011

Si Gila

Suatu hari, seorang pakar sakit jiwa telah didatangi seorang pemuda.

Pemuda : "Doktor! Doktor! Doktor! Tolong kawan saya doktor!

Doktor  : "Ya, kenapa?"

Pemuda : "Kawan saya gila doktor."

Doktor  : "Sebab apa awak cakap macam tu?"

Pemuda : "Dia berdiri di atas meja dan berkata, aku adalah lampu yang menerangi bilik ini. Itukan gila namanya doktor!"

Doktor  : "Betul tu! Jom kita suruh dia turun dan keluar dari bilik tu."

Pemuda : "Jangan doktor jangan!"

Doktor  : " Nape lak?"

Pemuda : "Nanti gelap bilik tu doktor!"

Terpinga-pinga doktor dibuatnya.

Orang gila, jangan dilayan. Kalau dilayan kita pun gila jugak!

Saturday, January 8, 2011

Bapa Borek Anak Rintik

Seorang ayah ingin menghiburkan anak tunggalnya dengan menceritakan sebuah perihal yang tidak masuk akal.

Ayah  : Minggu lepas ayah pergi ke pasar. Di sana ayah ternampak seeorang buaya yang amat besar menyerang dan menerkan orang ramai. Segala yang ada di depan matanya habis dimakan. Nasib baik buaya tu tak nampak ayah. Kalau tak habis la ayah. Tiba-tiba muncul seekor kucing melompat ke arah buaya tersebut. Berlakulah pertarungan yang amat dahsyat dan hebat. Akhirnya buaya itu mati dibaham oleh  si kucing.

Anak  : Kalau ayah nak tau, itulah 'tompok' kucing saya...

Pengajaran
Didiklah anak dengan kisah-kisah mulia dan teladan yang munasabah. Terapkan perasaan kasih sayangkan Nabi dan para sahabat.  Anak-anak akan sentiasa menuruti sikap ibu bapa mereka.

Tuesday, January 4, 2011

Ikhlaskan Diri Anda

Perkataan ikhlas mudah disebut tapi susah nak dipraktikkan. Sebab itu lah para ulamak sepakat mengatakan, amalan yang paling payah sekali adalah untuk mengikhlaskan hati dalam sesuatu amalan.

Kita boleh memberikan sedekah, tapi belum tentu disertakan dengan niat yang ikhlas. Kita boleh bantu seseorang, cuma dalam hati ini mungkin terpendam perasaan mengaharapkan balasan.

Walau macamana pun, kita tetap kena berusaha untuk melatih hati ini untuk meningkatkan tahap keikhlasan. Sebagai contoh, barangkali hari ini keikhlasan kita hanya di tahap 30%, jadi kita cuba tingkatkan lagi untuk jadikan 35%. Kemudian usahakan lagi untuk mencapai tahap yang lebih baik. Lama kelamaan hati ini akan menjadi lunak dan tenang untuk melakukan sebarang ibadah.

Sheikh Mutawalli Sya'rawi pernah menyatakan, "Jika kita melakukan sesuatu perkara mengharapkan balasan manusia, kita akan dibalas hanya sekadar ihsan individu tersebut. Tetapi apabila kita melakukan sesuatu mengharapkan balasan daripada Allah, Allah pasti akan memberikan ganjaran yang sewajarnya."