Tuesday, July 26, 2011

Berpindah tapi..

Assalamualaikum.

Bulan Mei, Jun & Julai memang padat. Tak habis-habis dengan kursus, bengkel, seminar, metting &.. Target nak upgred blog ke hosting sendiri pun x sempat.

Saya baru sempat sign up blog wordpress, tapi ada yang leceh sikit. Kat blog tu tak boleh nak publish text Arab. Aduh!!

Cuba klik di sini: http:hanifamukhtar.com

Hhmmmm...

Tuesday, May 31, 2011

Blog ini sedang diusahakan untuk diupgrade
dari blogspot.com ke dot.com sendiri.

Buat sementara waktu, dijemput ke Facebook
saya untuk info-info agama&...

Sunday, May 22, 2011

Tafsir Al Quran Perkata



"Jika Al Quran kita anggap penting, tidak salah 
saya katakan: Miliki kitab ini dan pelajarinya
bersama keluarga."
Tuan Haji Radzi bin Kamarul Hailan AMP
Juri Akademi Al Quran TV9

Monday, May 9, 2011

Cinta...

"Cintailah siapa jua yang kamu inginkan, tetapi kadang-kadang dia akan melukakan hatimu. Sebaliknya jika kamu cintakan Allah, Allah pasti akan merahmati dan menyayangimu." 

Tuesday, April 26, 2011

Monday, April 25, 2011

Nama-nama Tempat

Jom kita belajar Bahasa Arab yang mudah. 

6 tempat yang begitu rapat dengan kehidupan seharian kita ialah rumah, masjid, sekolah, pejabat, kantin/kedai makan dan padang.

6 perkataan ini dalam Bahasa Arabnya seperti berikut:
                                                                        rumah بَيْتٌ
                                                                        masjid ٌمَسْجِد
                                                                        sekolah ٌمَدْرَسَة
                                                                         pejabat ٌإِدَارَة
                                                       kedai makan/kantin مَطْعَمٌ
                                                       padang مَلْعَبٌ

Daripada 6 perkataan ini, mungkin 3 perkataan sudah terbiasa dengan anda. Contohnya perkataan masjid, dalam Bahasa Arab pun sebut masjid jugak. Ia berasal dari Bahasa Arab, kita pinjamkan menjadi Bahasa Melayu. Seperti yang saya sebut dulu, lebih kurang 1700 patah perkataan Bahasa Melayu asalnya adalah Bahasa Arab.
Perkataan مَدْرَسَةٌ p(madrasah) pun selalu kita dengar. Orang Melayu selalu sebut perkataan madrasah ini untuk sekolah agama atau pun surau. Surau tersebut dinamakan madrasah kerana banyak kelas agama dijalankan di situ. Jadi surau tersebut ada persamaan dengan sekolah iaitu tempat belajar.

1 perkataan lagi, rumah = بَيْتٌ. Pernah tak dengar ungkapan ini; baiti jannati / بَيْتِيْ جَنَّتِيْ yang membawa maksud rumahku syurgaku. Jadi hari ni kita dah faham bahawa rumah dalam Bahasa Arab disebut bait. 

Hmmmm, sekarang cuma fokus 3 perkataan ja lagi iaitu pejabat, kedai makan/kantin dan padang. J





Thursday, April 21, 2011

Sabar dan Sabar..

Dalam berdepan dengan apa jua situasi, orang selalu berpesan. "Sabarlah.. / Awak kena sabar banyak2 / Bersabar k /...."

Memberi nasihat untuk bersabar memang mudah. Tapi apabila kita ditimpa musibah, baru kita tahu bahawa susahnya untuk bersabar.

Para ulamak membahagikan sabar itu kepada 3 kategori:
1) sabar dalam melakukan ketaatan.
2) sabar dalam meinggalkan maksiat.
3) sabar ketika diuji dengan musibah.

Pepatah Melayu ada mengatakan, "Bumi mana yang tak ditimpa hujan." Begitulah gambaran tentang hidup ini yang tidak boleh lari dari diuji.

Menghadapi kesusahan dan kesukaran bukanlah ukuran Allah tidak sayangkan kita. Nabi Muhammad adalah insan yang paling banyak diuji sedangkan Baginda adalah kekasih Allah.

Junjungan Rasullah dilahirkan sebagai anak yatim. Dalam usia 2 tahun ibuNya pula tiada. Dikuti dengan kematian datuknya yang tercinta pada usia 6 tahun sehingga ketika itu Rasullah menangis teresak-esak sedih akan nasib yang menimpanya.

Setelah dibangkitkan menjadi Nabi, Baginda menerima ujian yang lebih dahsyat. Apa jenis celaan yang tidak dilemparkan kepada Baginda. Masyarakat ketika iti mengatakan Nabi gila, ahli sihir, pemecah belah bangsa dan banyak lagi cemuhan-cemuhan lain yang diajukan kapada Baginda.

"Seandainya Rasullah insan pilihan Allah pun diuji dan diuji, apatah lagi insan biasa seperti kita."  

Wednesday, April 13, 2011

Berikan Komen Anda

Assalamualaikum semua.

Lebih kurang 4 bulan kita belajar Bahasa Arab bersama-sama. Jadi saya nak mintak komen membina dari anda semua.

1) Apakah yang anda dapat rasakan setelah belajar Bahasa Arab?

2) Berikan komen membina tentang cara pengajaran saya.

Thursday, April 7, 2011

Tetapkan Matlamat Anda


Belajar Bahasa Arab akan menjadi lebih mudah apabila anda mengetahui teknik dan petuanya.
Pertama, tetapkan matlamat yang jelas kenapa anda hendak belajar Bahasa Arab. Kebanyakan orang belajar Bahasa Arab kerana ia adalah teras utama dalam mendalami ilmu agama. Tanpa menguasai Bahasa Arab, sukar bagi anda untuk memahami ilmu agama.
Ada juga yang belajar Bahasa Arab kerana mereka betul-betul meminati bahasa. Minat adalah penting dalam melakukan sesuatu perkara. Minatlah yang membuatkan seseorang itu terus berusaha tanpa putus asa.
Selain itu, ada juga yang belajar Bahasa Arab sebagai program kerohanian. Kita sering melihat orang ke masjid untuk mendengar syarahan agama, mengaji Al Quran dan kelas-kelas fardu ain. Menjadikan Bahasa Arab sebagai satu program kerohanian adalah sangat menyeronokkan. Anda akan dapat melihat keindahan Al Quran dan kebesaran Allah melalui perkataan-perkataan Bahasa Arab. Keseronokan dan keghairahan ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
مَنْ لَمْ يَذُقْ لاَ يَدْرِي
“Yang tidak merasainya tidak akan faham”
Belajar Bahasa Arab untuk tujuan bisnes pun boleh. Orang Arab amat seronok berurusan dengan mereka yang boleh Berbahasa Arab. Mengembangkan jaringan perniagaan dengan orang Arab atau ke tanah Arab adalah satu idea yang menarik dan amat menguntungkan. Kalau tak percaya, cuba buat tengok! Anda akan lihat hasilnya.
Anda pula bagaimana? Jom belajar Bahasa Arab! Semakin jelas matlamat anda untuk belajar Bahasa Arab, semakin dekat anda dengan puncak kejayaan.

Wednesday, April 6, 2011

Bagaimanakah Nak Belajar Bahasa Arab?

بسم الله الرحمن الرحيم
Terdapat beberapa cara untuk belajar Bahasa Arab dengan mudah. Di antaranya ialah:
1. Pergi ke tanah Arab dan bergaul dengan mereka. Anda pasti mengusai Bahasa Arab dengan pantas.

atau

2. Ramai pelajar yang berbangsa Arab datang ke Malaysia untuk belajar di universiti tempatan. Gunakan peluang ini untuk bergaul dan belajar Bahasa Arab secara informal dengan mereka.

atau

3. Dapat guru atau mentor untuk membimbing anda mempelajari Bahasa Arab. Belajar dengan guru atau mentor yang berpengalaman akan membuatkan anda lebih seronok dan selesa untuk terus mendalami Bahasa Arab.






Friday, March 25, 2011

Kepentingan Bahasa Arab

Hubungan Bahasa Arab dengan Islam terlalu rapat sehinggakan Allah menurunkan Al Quran dalam bahasa ini. Seseorang individu akan sentiasa bersemangat untuk mempelajarinya  jika betul-betul memahami akan kepetingan Bahasa Arab dalam kehidupan ini.

Kenapa Bahasa Arab itu penting? Berikut adalah gambaran secara ringkas tentang kepentingan Bahasa Arab:

# Al Quran diturunkan dalam Bahasa Arab. Persoalannya, kenapakah Allah memilih Bahasa Arab sebagai bahasa Al Quran sedangkan pada zaman tersebut masih terdapat banyak lagi bahasa lain?


# Bahasa Arab adalah bahasa ibadah. Bacaan-bacaan solat 100% berbahasa Arab.


# Seseorang Muslim yang dilahirkan akan diazankan. Kalimah-kalimah azan adalah berbahasa Arab.


 # Doa-doa dan zikir-zikir harian diungkapkan dengan Bahasa Arab.


 # Sebelum menghembuskan nafas terakhir, seseorang itu mesti melafazkan kalimatus syahadah; لا إله إلا الله


# Bahasa Arab juga penting dalam menjalinkan hubungan diplomatik bersama negara-negara timur tengah seperti Arab Saudi dan Emeriah Arab Bersatu.


# Selain hubungan diplomatik, Bahasa Arab boleh membantu dalam mengembangkan jaringan pasaran perniagaan.


# Bagi yang ingin bekerja di negara-negara  Arab, kebolehan berbahasa Arab akan dilihat satu peluang yang sudah pasti dalam genggaman.

# Menguasai Bahasa Arab dilihat sebagai satu kelebihan untuk mendalami ilmu-ilmu agama. Rujukan utama buku-buku Islam kesemuanya ditulis dalam Bahasa Arab.

Sunday, March 20, 2011

Kelas Bahasa Arab

Assalamualikum.

Kepada yang belajar Bahasa Arab dengan saya, sila buat ayat yang dimaksudkan dalam ruangan komen dibawah.

Thursday, March 17, 2011

Pensyarah Ganti

Seorang pensyarah baru telah pun diminta menggantikan kelas dekan kerana kerana beliau menghadiri seminar di UK. Pensyarah baru ini merasakan terlalu kerdil untuk mengambil alih kelas yang diajar selama ini oleh dekan. Tambahan pula dia diberitahu students dalam kelas tu bijak-bijak belaka.

Hari hari pertama kuliah tersebut, pensyarah baru itu berasa begitu gementar. Dengan skimanya dia memperkenalkan diri. Saya nama Afendi bin Ismail dan diamanahkan untuk mengambil alih kelas ini. Terus terang saya katakan saya rasa begitu gementar sekali untuk mengajar kamu semua kerana saya tak tahu setakat mana yang kamu dah belajar. Lagi pun kelas kamu ni katanya memang hebat-hebat belaka.

Seorang pelajar bangun dan memberikan respon dengan selambanya: "Encik janganlah risau kerana kami pun tak tau apa yang telah diajar selama ni."

Iktibar:

Jangan cepat percaya cakap orang. Melihat dan mendengar sendiri itu lebih baik. :)

Info Bahasa Arab

pensyarah : مُحَاضِرٌ


kuliah : مُحَاضَرَةٌ


para pelajar : طُلاَّبٌ

gementar : اِرْتِعَادٌ


risau : قَلِقٌ


Saturday, March 5, 2011

Nilai Keimanan

Suatu hari seorang sahabat datang berjumpa Rasulallah dan bertanya:

دَلَّنِيْ عَلَى شَيْءٍ ِفي الإِسْلاَمِ لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا بَعْدَكَ؟

tunjukkan aku sesuatu yang berharga dalam Islam ini yang aku tidak perlu lagi bertanyakan orang lain selepas ini

فَقَالَ لَهُ صلى الله عليه وسلم: قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُم اسْتَقِمْ.

maka Rasulullah terus menjawab, berimanlah kamu dengan Allah dan beristiqamahlah.


Kita mestilah bersyukur dilahirkan dalam keadaan beriman. Iman suatu perkara yang paling berharga dalam kehidupan manusia. Tanpa iman, mereka hanya akan mencari keseronokan dunia sahaja dan tidak mengendahkan kehidupan akhirat yang kekal lagi abadi. Seseorang yang hidup tanpa berbekalkan keimanan, pada hakikatnya dia sudah pun 'mati'.

Ibnu Taimiyyah pernah berkata:


المُؤْمِنُ يُوْلَدُ مَرتَيْنِ: مَرةً يَوْمَ أَتَتْ بِهِ أُمهُ، وَمَرةً يَوْمَ يُوْلَدُ فِي الإِسْلاَمِ فَيَتَأَدبُ بِآدَابِ الإِسْلاَمِ


Seseorang mukmin itu dilahirkan 2 kali. Pertama pada hari ibu melahirkannya. Kedua apabila dia dilahirkan dalam agama Islam dan berakhlak seperti yang ditunjukkan Islam.


Marilah kita menghargai agama yang sedang kita anuti ini. Para sahabat di zaman Rasulillah terpaksa mengangkat senjata semata-mata untuk mempertahankan kesucian iman. Keimanan inilah yang akan menyelamatkan kita untuk mengecapi kebahagian dunia dan akhirat.

  وَلَدَتْكَ أُمكَ يَا ابْنَ آدَم بَاكِيًا * وَالنَّاسُ فِي حَوْلِكَ يَضْحَكُوْنَ سُرُوْرا 


فَاعْمَلْ لِنَفْسِكَ أَنْ تَكُوْنَ إِذَا بَكوا * فِيْ يَوْمِ مَوْتِكَ ضَاحِكًا مَسْرُوْرا

Pada si ibu melahirkan kamu, kamu menangis teresak-esak sedang insan-insan di sekeliling kamu senyum ketawa keriangan
Maka beramal solehlah kamu, tatkala orang di sekelingmu menangis akan pemergian kamu, tetapi kamu senyum kegembiraan untuk kembali mengadap Tuhanmu. 






Thursday, February 17, 2011

Bahasa Arab Bahasa Islam

Allah mewajibkan ke atas setiap hambanya mempelajari ilmu supaya dapat melakukan ibadah dengan sempurna.Amalan yang tidak berbekalkan ilmu hanya akan menjadi sia-sia sahaja.

Ilmu Allah amatlah luas. Jika kita pergi ke tepi laut, masukkan jari ke dalam air. Diibaratkan titisan air pada jari itu ilmu kita, lautan seluas sejauh mata memandang itulah ilmu Allah. ما شاء الله betapa luasnya Ilmu-Mu Ya Allah!

Allah Taala mengetahui segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini. Kadang-kadang kita berbangga dengan pencapaian seseorang. Beliau mampu mencipta ini dan itu, menghasilkan formula ini dan itu. Sedangkan kita terlupa bahawa ilmu yang dimiliki oleh orang tersebut adalah anugerah Allah yang dipinjamkan buat seketika. Ilmu yang dimiliki oleh insan ini hanya sedikit jika dibandingkan dengan ilmu Allah yang jika ditulis dengan 7 lautan sekali pun maka tidak akan habis.

Segala ilmu pengetahuan yang telah ditemui mahu pun belum sudah tersurat dan tersirat dalam Al Quran. Ramai saintis-saintis Barat tunduk sujud kepada Allah setelah menyingkapi kebenaran Al Quran. Ramai juga yang terus menidakkan isi kandungannya walau pun kebenarannya sudah pun jelas di depan mata.

Manusia diminta hanya menyembah Allah Yang Esa sedangkan mereka terdiri dari pelbagai etnik dan bangsa. Pertuturan harian mereka juga berbeza-beza. Kita disuruh untuk beriman dengan Al Quran sedangkan Al Quran itu berbahasa Arab. Adakah ini tidak adil untuk bangsa bukan Arab atau pun ia mengandungi jutaan rahsia tersirat?


Info Bahasa Arab Mudah

Al Quran   القُرْآن
ilmu  عِلْمٌ
sujud  سُجُوْدٌ
ibadah  عِبَادَةٌ
adil  عَدْلٌ
laut  بَحْرٌ
bahasa  لُغَةٌ

Thursday, February 10, 2011

Episod Imam Bacaan Sempurna

Suatu malam di sebuah surau seorang imam telah dipilih di kalangan makmum yang dirasakan berpotensi
untuk mengetuai solat fardu maghrib. Ini adalah kerana tok imam tidak dapat hadir untuk solat bersama.
Imam sementara yang telah dipilih ini nampaknya berjaya menjalankan tugas dengan baik. Setiap rakaat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Setiap makmum berasa lapang sekali kerana dapat juga menjalan solat berjemaah walaupun ketiadaan tok imam. Mereka kagum dengan beliau, lebih-lebih lagi suara bacaannya yang cukup lunak.
Selepas sahaja memberi salam, si imam terus menoleh belakang ke arah makmum dan bertanya, “Macam mana bacaan solat aku tadi, okay tak?” Seorang makmum di hujung sebelah kiri menyahut, kira okay la tu mam, ni kalu masuk Akademi Al Quran confirm boleh jadi juara!”
“Ha itu… belum sempat aku ambil wuduk lagi, kalau aku sempat berwuduk sebelum solat tadi confirm lagi sedap bacaan tau!”
Tercengang makmum mendegar statement imam. Masing-masing berbisik dalam hati, “Ada jugak mangkuk hayun yang macam ni.”
Catatan:
1)      Janganlah kita mengukur seseorang berdasarkan luaran sahaja. Kadang-kadang orang yang kita pandang sebelah mata itu jauh lebih hebat dari yang lain. Ini adalah kerana dia memiliki sifat tawaduk.
2)      Persiapkan diri kita dengan ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Jangan hanya mengharapkan orang lain mengerjakan fardu kifayah sedangkan kita asyik terlepas untuk menikmati ganjaran pahala yang telah dijanjikan.

Sunday, January 30, 2011

Menjadi Hamba Allah

Nikmat, ujian, ketaatan dan maksiat, 4 perkataan ini selalu kita dengar. Sesetengah para alim ulamak mengatakan seseorang hamba Allah hanya akan bearada dalam 4 situasi ini, tidak ada keadaan yang kelima untuk kita.

Apabila mendapat nikmat hendaklah kita bersyukur. Dalam situasi diuji pula hendaklah kita reda dan bersabar. Disaat kita terlalai melakukan maksiat, bersegeralah beristighfar dan bertaubat kepadaNya. Semuanya ini akan menjadikan kita hamba yang sentiasa taat kepada Sang Pencipta Yang Maha Berkuasa.

Perkataan hamba Allah mudah dilafazkan. Adakah kita mengetahui makna perkataan ini? Apakah yang dimaksudkan dengan hamba Allah?

Hamba dalam Bahasa Arab disebut عَبْدٌ. Yang dikatakan sebenar-benar hamba ialah:

الْعَبْدُ لاَ يَمْلِكُ شَيْئًا
"Seseorang hamba tersebut tidak memiliki apa-apa pun"-melainkan Allah sahaja di hatinya.

Di sisi manusia, hamba adalah kedudukan yang terendah dan terhina. Tetapi di sisi Allah, hamba adalah darjat yang paling tinggi dan mulia. Sebab itulah Nabi Muhammad apabila ditanya, adakah kamu hendak menjadi rasul atau pun hamba, Nabi memilih untuk menjadi hamba Allah. Lalu Allah menjadikan baginda hamba Allah dan Rasulullah, dan baginda adalah sebaik-baik hamba Allah. 

Tuesday, January 25, 2011

Tidak Ternilainya Nikmat Masa

Kebiasaannya manusia memikirkan apa yang tidak milikinya. Sesuatu yang ada bersama dengan kita jarang disyukuri. Bila melihat orang lain hidup mewah, kita pun inginkan sedemikian. Sedangkan kita terlupa barangkali orang tersebut mempunyai masalah-masalah lain seperti tidak sihat dan rumah tangganya tidak bahagia.

Kita terlupa bahawa kita juga mempunyai sesuatu yang amat  berharga dalam hidup ini. Allah itu Maha Adil, Dia pasti akan memberikan yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Setidak-tidaknya Allah telah menganugerahkan kita nikmat masa.

Masa adalah suatu nikmat yang paling berharga yang dimiliki oleh manusia. Dengan masa kita dapat gunakannya untuk belajar, beramal soleh, bekerja dan lain-lain lagi.

Disebabkan masa itu terlalu penting dan begitu bernilai, Allah telah bersumpah dengan perkataan-perkataan yang menunjukkan masa di dalam Quran seperti والعصر، والليل dan والضحى.

Kita juga mestilah selalu ingat bahawa:

  • Masa akan berlalu dengan begitu pantas.
  • Masa yang berlalu tidak akan kembali lagi.
  • Sesuatu yang paling berharga yang manusia miliki adalah nikmat masa.

Wednesday, January 19, 2011

Si Gila

Suatu hari, seorang pakar sakit jiwa telah didatangi seorang pemuda.

Pemuda : "Doktor! Doktor! Doktor! Tolong kawan saya doktor!

Doktor  : "Ya, kenapa?"

Pemuda : "Kawan saya gila doktor."

Doktor  : "Sebab apa awak cakap macam tu?"

Pemuda : "Dia berdiri di atas meja dan berkata, aku adalah lampu yang menerangi bilik ini. Itukan gila namanya doktor!"

Doktor  : "Betul tu! Jom kita suruh dia turun dan keluar dari bilik tu."

Pemuda : "Jangan doktor jangan!"

Doktor  : " Nape lak?"

Pemuda : "Nanti gelap bilik tu doktor!"

Terpinga-pinga doktor dibuatnya.

Orang gila, jangan dilayan. Kalau dilayan kita pun gila jugak!

Saturday, January 8, 2011

Bapa Borek Anak Rintik

Seorang ayah ingin menghiburkan anak tunggalnya dengan menceritakan sebuah perihal yang tidak masuk akal.

Ayah  : Minggu lepas ayah pergi ke pasar. Di sana ayah ternampak seeorang buaya yang amat besar menyerang dan menerkan orang ramai. Segala yang ada di depan matanya habis dimakan. Nasib baik buaya tu tak nampak ayah. Kalau tak habis la ayah. Tiba-tiba muncul seekor kucing melompat ke arah buaya tersebut. Berlakulah pertarungan yang amat dahsyat dan hebat. Akhirnya buaya itu mati dibaham oleh  si kucing.

Anak  : Kalau ayah nak tau, itulah 'tompok' kucing saya...

Pengajaran
Didiklah anak dengan kisah-kisah mulia dan teladan yang munasabah. Terapkan perasaan kasih sayangkan Nabi dan para sahabat.  Anak-anak akan sentiasa menuruti sikap ibu bapa mereka.

Tuesday, January 4, 2011

Ikhlaskan Diri Anda

Perkataan ikhlas mudah disebut tapi susah nak dipraktikkan. Sebab itu lah para ulamak sepakat mengatakan, amalan yang paling payah sekali adalah untuk mengikhlaskan hati dalam sesuatu amalan.

Kita boleh memberikan sedekah, tapi belum tentu disertakan dengan niat yang ikhlas. Kita boleh bantu seseorang, cuma dalam hati ini mungkin terpendam perasaan mengaharapkan balasan.

Walau macamana pun, kita tetap kena berusaha untuk melatih hati ini untuk meningkatkan tahap keikhlasan. Sebagai contoh, barangkali hari ini keikhlasan kita hanya di tahap 30%, jadi kita cuba tingkatkan lagi untuk jadikan 35%. Kemudian usahakan lagi untuk mencapai tahap yang lebih baik. Lama kelamaan hati ini akan menjadi lunak dan tenang untuk melakukan sebarang ibadah.

Sheikh Mutawalli Sya'rawi pernah menyatakan, "Jika kita melakukan sesuatu perkara mengharapkan balasan manusia, kita akan dibalas hanya sekadar ihsan individu tersebut. Tetapi apabila kita melakukan sesuatu mengharapkan balasan daripada Allah, Allah pasti akan memberikan ganjaran yang sewajarnya."