Sunday, January 30, 2011

Menjadi Hamba Allah

Nikmat, ujian, ketaatan dan maksiat, 4 perkataan ini selalu kita dengar. Sesetengah para alim ulamak mengatakan seseorang hamba Allah hanya akan bearada dalam 4 situasi ini, tidak ada keadaan yang kelima untuk kita.

Apabila mendapat nikmat hendaklah kita bersyukur. Dalam situasi diuji pula hendaklah kita reda dan bersabar. Disaat kita terlalai melakukan maksiat, bersegeralah beristighfar dan bertaubat kepadaNya. Semuanya ini akan menjadikan kita hamba yang sentiasa taat kepada Sang Pencipta Yang Maha Berkuasa.

Perkataan hamba Allah mudah dilafazkan. Adakah kita mengetahui makna perkataan ini? Apakah yang dimaksudkan dengan hamba Allah?

Hamba dalam Bahasa Arab disebut عَبْدٌ. Yang dikatakan sebenar-benar hamba ialah:

الْعَبْدُ لاَ يَمْلِكُ شَيْئًا
"Seseorang hamba tersebut tidak memiliki apa-apa pun"-melainkan Allah sahaja di hatinya.

Di sisi manusia, hamba adalah kedudukan yang terendah dan terhina. Tetapi di sisi Allah, hamba adalah darjat yang paling tinggi dan mulia. Sebab itulah Nabi Muhammad apabila ditanya, adakah kamu hendak menjadi rasul atau pun hamba, Nabi memilih untuk menjadi hamba Allah. Lalu Allah menjadikan baginda hamba Allah dan Rasulullah, dan baginda adalah sebaik-baik hamba Allah. 

No comments:

Post a Comment