Thursday, April 7, 2011

Tetapkan Matlamat Anda


Belajar Bahasa Arab akan menjadi lebih mudah apabila anda mengetahui teknik dan petuanya.
Pertama, tetapkan matlamat yang jelas kenapa anda hendak belajar Bahasa Arab. Kebanyakan orang belajar Bahasa Arab kerana ia adalah teras utama dalam mendalami ilmu agama. Tanpa menguasai Bahasa Arab, sukar bagi anda untuk memahami ilmu agama.
Ada juga yang belajar Bahasa Arab kerana mereka betul-betul meminati bahasa. Minat adalah penting dalam melakukan sesuatu perkara. Minatlah yang membuatkan seseorang itu terus berusaha tanpa putus asa.
Selain itu, ada juga yang belajar Bahasa Arab sebagai program kerohanian. Kita sering melihat orang ke masjid untuk mendengar syarahan agama, mengaji Al Quran dan kelas-kelas fardu ain. Menjadikan Bahasa Arab sebagai satu program kerohanian adalah sangat menyeronokkan. Anda akan dapat melihat keindahan Al Quran dan kebesaran Allah melalui perkataan-perkataan Bahasa Arab. Keseronokan dan keghairahan ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
مَنْ لَمْ يَذُقْ لاَ يَدْرِي
“Yang tidak merasainya tidak akan faham”
Belajar Bahasa Arab untuk tujuan bisnes pun boleh. Orang Arab amat seronok berurusan dengan mereka yang boleh Berbahasa Arab. Mengembangkan jaringan perniagaan dengan orang Arab atau ke tanah Arab adalah satu idea yang menarik dan amat menguntungkan. Kalau tak percaya, cuba buat tengok! Anda akan lihat hasilnya.
Anda pula bagaimana? Jom belajar Bahasa Arab! Semakin jelas matlamat anda untuk belajar Bahasa Arab, semakin dekat anda dengan puncak kejayaan.

1 comment:

  1. http://www.youtube.com/watch?v=sqhX_SlAzNs&feature=related

    ReplyDelete